Keajaiban Membesarkan Rasulullah s.a.w


HALIMAH As-Sa’diyah, dari Bani Sa’ad bin Bakr, menumpahkan kasih sayang yang tinggi kepada Nabi Muhammad, sejak baginda kecil lagi. Sebagai ibu susuan Rasulullah, wanita salihah Arab itu, gigih mengajar baginda bertutur sehingga fasih, melatih baginda berjalan di padang pasir dan mengurus mandian serta membesarkan baginda.

Amalan ibu susuan adalah lumrah di kalangan bangsa Arab sejak dulu sehingga sekarang. Tradisi itu adalah sebagai langkah menjauhkan anak-anak Arab daripada menghidapi penyakit yang biasa merebak dalam keturunan asal. Kesannya, bayi mempunyai tubuh lebih kuat, otot lebih segar dan dapat bertutur bahasa Arab dengan lebih fasih.

Rasulullah terpaksa dipelihara oleh ibu susuan kerana bondanya Siti Aminah, kekeringan susu disebabkan terlalu sedih di atas kematian suaminya, Abdullah, ketika Nabi masih dalam kandungan. Semasa Halimah mula-mula dipertemukan dengan Rasulullah, sinar cahaya anak yatim yang mulia itu, telah melembutkan hatinya. Allah telah menumbuhkan di dalam hatinya, rasa cinta yang mendalam kepada Rasulullah yang menjadikan beliau tabah membesarkan anak itu dengan penuh kesabaran.

Pasangan suami isteri Halimah dan Al-Harits bin Abdul Uzza, adalah pasangan yang berpegang kuat kepada agama dan mempunyai kedudukan yang dihormati dalam masyarakat. Menurut riwayat, Halimah menerima Nabi Muhammad sebagai anak susuannya selepas dinasihatkan oleh suaminya, yang mahukan isterinya menyusui baginda dengan harapan Tuhan akan memberikan mereka kebaikan.

Sebaik saja Halimah memangku Muhammad di atas ribanya, payu daranya terus menitis susu, lalu diminum oleh baginda sehingga kenyang. Beberapa saudara susuan baginda yang lain turut dapat meminum susu itu sehingga hilang lapar.

Justeru, Nabi Muhammad mempunyai beberapa saudara susuan terdiri daripada anak-anak Halimah As-Sa’diyah, termasuk pakciknya, Hamzah bin Abdul Mutalib dan anak pakciknya, Abu Sufyan bin Al-Harits bin Abdul Mutalib. Lain-lain saudara susuan nabi yang lain ialah Abdullah bin Al-Harits, Anisah binti Al-Harits, Hudzafah atau Judzamah binti Al-Harits, yang nama panggilannya ialah Asy-Syaima’.

Apabila umur nabi genap dua tahun, baginda terpaksa diserahkan kepada keluarganya semula. Namun, Halimah As-Sa’diyah begitu berat untuk berbuat demikian lalu memujuk Siti Aminah supaya dibiarkan baginda membesar di bawah jagaannya. Dengan hati yang amat berat, Siti Aminah menuruti permintaan Halimah As-Sa’diyah, walaupun beliau tahu akan menanggung penderitaan dan kerinduan di atas pemergian anak lelaki kesayangannya itu.

Halimah As-Sa’diyah berkata, berlaku beberapa perkara ajaib sepanjang beliau menjaga Nabi Muhammad. Antaranya, unta kurus yang membawanya ke rumah Siti Aminah semasa hendak mengambil nabi, tiba-tiba sihat dan penuh dengan susu.

Begitu juga, kambing peliharaannya yang sebelum ini tidak begitu membiak, secara tiba-tiba menjadi sihat dan mengandungi banyak susu. Malahan, anaknya sendiri, Abdullah, yang sering menangis kerana tidak cukup menyusu, akhirnya kekenyangan. Payudaranya dipenuhi dengan susu dan ini membolehkannya menyusukan Nabi Muhammad dan Abdullah secukup-cukupnya.

Halimah terus memberitahu, ketika beliau membawa pulang Muhammad, beberapa orang Nasrani Habsyah memeriksa Muhammad dengan teliti dan meminta untuk diserahkan kepada raja mereka kerana menganggap budak itu mempunyai masa depan yang cerah.

“Kemudian datang sekumpulan Yahudi lalu aku meminta pandangan mereka mengenai Muhammad selepas diberitahu mengenai keberkatan dan tuah anak itu. Mereka kemudian berpendapat anak itu patut dibunuh kerana dia anak yatim. Akupun memberitahu bahawa suamiku adalah ayah kepada anak itu lalu Yahudi itu meninggalkan Muhammad,” katanya.

Nama Halimah As-Sa’diyah terkenal dalam sejarah Islam kerana pengorbanannya menyusui serta membesarkan Rasulullah.

Nabi sendiri sangat memuliakan Halimah, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Tufail. Katanya, Nabi pernah ke Ja’ranah pada satu hari dan ketika sedang membahagikan daging, datang seorang wanita Badwi menghampiri baginda. Rasulullah terus membentangkan kain ridaknya dan menyuruh wanita itu duduk. Peristiwa itu menyebabkan Abu Tufail ingin tahu identiti wanita itu, lalu dijawab orang ramai “Itulah ibu susuan Nabi.”

Halimatus Saadiah

Kakimu melangkah lesu menuju ke jalan pulang
Kecewa kerana gagal mendapat bayi hartawan
Namun apakah yang akan kau beri sebagai jawapan
Jika ditanya mengapa kau gagal mendapatkannya

Tiba-tiba senyum si yatim itu menyapa
Tergugah deria ibu yang bersemi di jiwa
Biar Muhammad itu tanpa upah berganda
Namun hatimu rela bukan kerana harta

Halimatus Saadiah
Engkau ibu yang bertuah
Kau wanita penerima barakah
Dari desa pedalaman
Daerah di pinggiran
Kau menyusui insan pilihan

Kau pangku dia dan berubahlah segalanya
Badan yang terasa lesu kini bertenaga
Susu yang sedikit itu bertambah dengan segera
Peliharaan ternakan membiak subur berganda

Halimatus Saadiah, kau ibu barakah
Engkau pemula muqaddimah yang indah
Episod awal sirah Nabi junjungan mulia
Kau ibu susu yang bertuah

Pada sejarahmu terukir kenyataan
Tidak kan miskin jika membela Islam
Tidak hina meriba kebenaran yang mulia
Jangan takut jika kau beriman

Lagu : Putra Aiman (Hijjaz Records)
Lirik : Pahrol Md. Juoi (Genta Rasa Publishing)
Penyusun Muzik : Firdaus
Penerbit : Munif Ahmad
Hakcipta : Hijjaz Records Sdn. Bhd.

NicenizaR a.k.a Sang Penyair…:-)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s